Skip to main content

Catatan ringkas kembara melihat model pendidikan terbaik

Catatan ringkas kembara melihat model pendidikan terbaik

oleh
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
wasifwan.blogspot.com
ilmuwan-w.blogspot.com

Disana sini orang ramai membincangkan tentang sistem pendidikan yang bagaimana yang terbaik untuk anak-anak mereka pada masa kini.Ramai yang mengkritik sistem pendidikan yang sedia ada dan mendesak pembaharuan segera dalam sistem pendidikan negara.Ramai juga yang kecewa dengan sistem pendidikan masa kini lantas memilih untuk mengeluarkan anak mereka dari sekolah dan memilih ‘homeschooling untuk anak-anak mereka.

Dalam tulisan ini saya tidak akan menghuraikan tentang sistem pendidikan tetapi akan berkongsi sedikit catatan kembara saya setelah melawat beberapa sekolah di Turki,Acheh dan Tangerang di Indonesia , dan sekolah antarabangsa di Malaysia yang membuatkan saya terfikir apakah bentuk sistem pendidikan terbaik zaman kontemporari ini.

1)Fatih Billingual School di Acheh

Saya mengikuti kembara ke Acheh ini bersama MTDS-Malaysian Turkish Dialogue Society yang merupakan ‘cawangan Hizmet Fethullah Gulen’ dan dibawa melawat ke Fatih Billingual School.Ada beberapa hal yang menarik di sekolah ini dan saya simpulkan seperti berikut:-




Infrastruktur terbaik,lengkap dan berkualiti

Kompleks sekolah ini sangat besar dan memiliki rumah asrama pelajar sekali, perpustakaan,makmal sains, makmal muzik yang lengkap dengan peralatan muzik seperti gitar,drum,biola,keyboard dan makmal bahasa.
Masuk sahaja di pintu pagarnya kita dapat melihat dataran,gelanggang bola keranjang,kolam ikan dan lain-lain.

Sekolah ini juga lengkap dengan gelanggang futsal,gelanggang badminton,surau dan bilik khas ala panggung wayang yang digunakan untuk menonton filem atau siri rancangan tv.

Bantuan biasiswa untuk anak yatim-orang miskin

Sekolah ini merupakan sekolah antarabangsa untuk pelajar Aceh dan majoriti pelajarnya ialah anak –anak yatim mangsa tsunami dan orang miskin.Biasiswa yuran percuma disediakan untuk pelajarnya yang terpilih memasuki sekolah ini termasuk dengan kelengkapan asramanya.

Penguasaan bahasa asing

Para pelajar disini  diwajibkan mempelajari Bahasa Turki disamping mempelajari Bahasa Inggeris.Makmal bahasa dan kemudahan teknologi multimedia memudahkan lagi proses pembelajaran bahasa-bahasa asing disini.
 
1 kelas 1 subjek matapelajaran

Apa yang menarik di sekolah ini antaranya ialah satu kelas disediakan untuk setiap satu subjek matapelajaran.Dan setiap kelas itu misalnya kelas Matematik ,ia akan dihiasi dengan formula-formula matematik,kelas Sains dipenuhi dengan maklumat-maklumat Sains begitulah seterusnya dan ini semua dilakukan untuk menghidupkan suasana pembelajaran matapelajaran tersebut .

Penyertaan dalam Olympiad antarabangsa

Pencapaian akademik pelajar di sekolah ini juga antara yang terbaik di Banda Aceh bahkan beberapa orang pelajarnya telah memenangi medal emas-perak –gangsa bagi projek antarabangsa Olympiad  khususnya dalam bidang Sains dan Matematik.Acara tahunan Olympiad budaya di Turki turut disertai oleh wakil pelajar sekolah ini setiap tahun.

2)Hayret Vekfi di Turki

Hayret Vekfi ini merupakan sebuah yayasan waqaf-ngo yang meneruskan perjuangan tokoh dari Turki,Badiuzaman Said Nursi dan menyebarluas karya beliau,’Risalah An Nur’ di seluruh dunia.Saya sempat mengikuti acara Devan Education Forum di pejabat mereka di Kucukcermerce dan di asrama para pelajarnya di Isparta.Duduk bersama mereka dan mengikuti sistem pendidikan mereka saya dapat membuat kesimpulan seperti berikut:-

Penekanan kepada aspek kerohanian-amalan mulia

Para pelajar Hayret Vekfi dididik dalam suasana pendidikan yang menekankan aspek kerohanian dan amalan mulia dan mereka banyak dipengaruhi oleh pendidikan spiritual dan ilmu pembersihan jiwa- tasawuf yang banyak dihuraikan oleh Badiuzaman Said Nursi dalam karya-karyanya.

Di asrama mereka,saya dapat melihat bagaimana mereka sangat memuliakan tetamu,sentiasa mengukir senyuman,aspek kebersihan diri dan persekitaran sangat ditekankan ,tandas mereka sangat bersih,pakaian mereka sangat kemas,selipar disusun rapi dan lain-lain yang melambangkan disiplin diri yang mantap.
Mereka juga dididik untuk ‘mewaqafkan diri sendiri’ dengan sanggup kembara ke seluruh dunia untuk memberi khidmat dalam bidang pendidikan.

Meneruskan tradisi keilmuan silam,karya tokoh dan penguasaan ilmu klasik

Pelajar Hayret Vekfi didedahkan dengan tradisi keilmuan silam dan sewaktu di asrama mereka saya dapat melihat sendiri bagaimana mereka setiap malam akan menyalin dengan tulisan tangan sendiri terhadap karya tokoh seperti Badiuzaman Said Nursi dan membacanya.

Mereka juga didedahkan dengan karya tokoh silam seperti Imam Al-Ghazali,Imam Rabbani,Imam Zamaksyari,Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dan ramai lagi.Mereka juga sangat menekankan pembelajaran tulisan Uthmaniah yang semakin dilupakan di Turki seperti tulisan jawi di Malaysia.

3)Sekolah milik ‘Hizmet’ Fethullah Gulen di Turki

Ketika mengikuti lawatan ke Turki bersama MTDS-Malaysian Turkish Dialogue Society,kami dibawa melawat ke beberapa sekolah milik mereka disana dan menetap  di asrama sekolah disana.Sekolah milik Hizmet ini juga lengkap dengan pelbagai infrastruktur dan sistem pendidikan mereka banyak dipengaruhi oleh pemikiran pendidikan tokoh utama mereka iaitu Fethullah Gulen .

Fokus kepada ‘Pendidikan Karakter’

Fethullah Gulen dalam kupasannya tentang pendidikan banyak memberi fokus kepada ‘pendidikan karakter’,amalan yang baik,berkhidmat kepada orang lain dan apa jua yang berkaitan dengan akhlaq.Penekanan pendidikan akan menjurus kepada pembentukan peribadi pelajar dan kerjasama antara guru dan ibubapa atau pendidikan di sekolah dan di rumah sangat dipentingkan dalam memantau perkembangan karakter peribadi pelajar-pelajar.Guru-guru di sekolah Hizmet ini juga akan sentiasa menziarahi ibubapa pelajar di rumah dari masa ke semasa untuk menjalin hubungan baik dengan ibubapa sekaligus memantau perkembangan peribadi para pelajar.

Galakan, motivasi dan penghargaan kepada pelajar 

Ketika melawat sebuah sekolah Hizmet di Bursa ,kami memasuki kelas-kelas mereka,dan yang menariknya disini,senarai nama dan muka pelajar yang mendapat pencapaian yang terbaik dalam setiap subjek akan terpapar di papan iklan sekolah tersebut. Ini dilakukan demi menyuntik motivasi kepada para pelajar di samping mewujudkan semangat persaingan sihat di kalangan pelajar agar berlumba-lumba untuk meningkatkan prestasi akademik masing-masing.

Di ruangan kosong tangga-tangga turut dihiasai dengan pelbagai mutiara kata dan kata-kata motivasi.

4)Insan Cendekia Madani di Tangerang,Indonesia

Dalam kunjungan saya ke Indonesia baru-baru ini,saya berpeluang melawat sekolah Insan Cendekia Madani di Tangerang.Disana kami dibawa menaiki kereta yang sering digunakan di padang golf untuk mengelilingi kompleks sekolah Islam antarabangsa ini dan  dapat melihat mini zoo,kolam ikan,kolam renang,tempat memanah,tempat menanam-pertanian,kelas,kantin,dan lain-lain yang terdapat didalam kompleks sekolah ini.Kompleks sekolah ini sangat besar dan luas serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.





 
Menekankan aspek kehijauan-keindahan alam

Sekolah Insan Cendekia Madani ini telah mendapat hadiah landskap –senibina terbaik daripada persatuan arkitek dan diiktiraf dalam usaha mereka menonjolkan suasana kehijauan alam sekitar.Pokok-pokok ditanam disana sini dan turut terdapat dalam kompleks sekolah ini ialah ruang tanah luas untuk menanam dan melakukan aktiviti pertanian disini.Para pelajar juga dilibatkan dalam aktiviti pertanian ini sebagai pendedahan awal buat mereka dalam dunia pertanian.

Kolam ikan yang didalamnya terdapat banyak ikan emas serta kewujudan mini zoo yang terdapat didalamnya haiwan seperti rusa menambahkan lagi keindahan sekolah ini.

Integrasi ilmu

Ketika saya bertanya kepada pengasas sekolah Insan Cendekia Madani ini,Pak Tamsil tentang  murid yang bagaimana mahu dilahirkan menerusi sekolah ini ,kata beliau lebih kurang begini ‘Gabungan antara BJ Habibie dan Prof Quraish Shihab ‘. 

BJ Habibie merupakan mantan Presiden Indonesia,seorang teknokrat-pakar dalam hal penerbangan-kapal terbang lulusan German dan mendapat pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan German manakala Prof Quraish Shihab merupakan pakar tafsir Al-Quran . 

Sekolah ini mengamalkan integrasi ilmu dan mahu melahirkan lebih ramai pelajar yang menguasai skop ilmu yang luas serta menguasai sebanyak mungkin cabang ilmu pengetahuan.

Deklarasi pelajar 

Pak Tamsil juga memberitahu kami bahawa para pelajar disini telah diminta untuk menulis deklarasi pelajar sendiri tentang cita-cita mereka pada masa hadapan dan ia akan dijadikan panduan buat para guru sewaktu dalam proses mendidik mereka.Para pelajar akan menulis sendiri tentang apa yang mereka harapkan ,minat kecenderungan dan cita-cita mereka pada masa hadapan dan para guru akan menilai potensi dan bakat yang dimiliki para pelajar.Ini memudahkan para guru untuk mengenal sendiri potensi dan bakat  serta kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh para pelajar mereka seterusnya mendidik mereka dengan kaedah yang betul dan sistematik.
 

5)Time International School di Segambut,Malaysia

Time International School ini dibuka oleh aktivis ‘Hizmet’ Fethullah Gulen juga melalui cawangan mereka di Malaysia,Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS).Kedudukannya pada pandangan saya mungkin sedikit kurang strategik memandangkan ia berdekatan dengan kawasan kilang-kilang dan kelihatannya sekolah ini juga merupakan tapak asal kilang yang telah diubahsuai.Namun sekolah ini seperti sekolah-sekolah ‘Hizmet’ Fethullah Gulen yang lain mempunyai infrastruktur yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal,bola keranjang,makmal computer,makmal bahasa,makmal muzik dan lain-lain lagi.

Penghargaan terhadap hasil karya dan kemahiran pelajar

Ketika berkunjung ke sini,saya dapat melihat hasil karya lukisan para pelajar disini dan koleksi karya yang terbaik dipamerkan di papan luar kelas yang boleh dilihat oleh semua orang.Para pelajar disini turut didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran membuat roti,kek,air minuman,bermain pelbagai peralatan muzik,teater dan lain-lain.

Pembelajaran di luar kelas

Time International School ini juga sangat menekankan aspek pembelajaran di luar kelas menerusi siri lawatan ke pelbagai tempat seperti muzium,pameran-pameran dan juga siri kem perkhemahan .Ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang realiti kehidupan disamping mengetahui bahawa proses pembelajaran itu tidak terhenti ketika didalam kelas semata-mata.

Penekanan kepada tabiat membaca 

Sekolah ini juga memberi penekanan kepada pembentukan tabiat membaca dalam kalangan pelajar.Terdapat projek khas iaitu D.E.A.R –( Drop Everything and Read) yang bertujuan untuk memastikan para pelajar memiliki tabiat membaca semenjak muda lagi.



Demikianlah beberapa catatan kembara saya setelah melawat pusat-pusat pendidikan  tersebut.Kekuatan yang ada pada pusat pendidikan ini wajar dipelajari dan dijadikan rujukan oleh para aktivis pendidikan disini disamping memantapkan lagi kekuatan yang sedia ada.Kekuatan yang ada pada sekolah-sekolah di negara lain juga wajar dikaji lagi dan pembandingan serta saringan terhadap segala model yang terbaik yang dimiliki oleh mana-mana pusat pendidikan wajar dibuat sekaligus dirangka suatu gabungan model pendidikan yang terbaik dan yang paling sesuai diamalkan di sekolah-sekolah di negara kita.

Comments

Popular posts from this blog

Bersama Hijjaz Kasturi ,Arkitek Terkenal

Pembentangan menarik arkitek terkenal negara,Hijjaz Kasturi di ASWARA lewat petang tadi. Hijjaz Kasturi yang bertanggungjawab merekabentuk bangunan-menara yang unik-unik di Malaysia seperti menara rebung TM,bangunan Tabung Haji,menara Maybank,Pusat Konvensyen Putrajaya ,menara Alor Star dan banyak lagi.





Beliau bicara soal idea INOVATIF ,rekabentuk yang menekankan aspek GO GREEN,dan kerja-kerja KREATIF. Idea senibina beliau punya makna tersendiri dan penuh falsafah disamping menerap mesej kemelayuan keislaman kemalaysian. Misalnya menara Maybank punya falsafah dari rekabentuk keris Melayu manakala Tabung Haji itu ada falsafah rukun Islam dari rekabentuknya.Beliau mengharapkan kita tetap membahaskan soal rekabentuk yang mempunyai ciri kemalaysiaan. Bagi seorang arkitek kata beliau rekabentuk masing-masing selalunya dipengaruhi juga oleh "school of thought" mereka. Beliau juga melontarkan persoalan bagaimana ukiran Melayu turut dipengaruhi oleh suasana persekitaran,kebudayaan ora…

Catatan Kembara di Thailand

oleh Wan Mohamad Wasif Catatan Kembara di Thailand
Sudah lama saya memasang niat untuk kembara ke Selatan Thailand apatahlagi selepas mendengar kisah pengalaman sahabat-sahabat yang mengadakan pelbagai program kebajikan dan pendidikan disana.


Ada yang ke sana membuat kajian tentang sejarah dan tokoh di Pattani,ada yang menjadi sukarelawan mengajar Bahasa Melayu di sana,ada yang mengisi pelbagai program khusus untuk anak-anak yatim disana.Faktor keselamatan sering menghalang saya untuk kembara ke sana,apatahlagi tv di Malaysia sering juga memaparkan berita tentang pembunuhan-tembak menembak di Selatan Thailand sehingga mengerunkan sebahagian orang  untuk ke sana dan beberapa kali juga saya dinasihatkan untuk menangguhkan kunjungan ke sana atas faktor keselamatan oleh sebahagian orang yang mengikuti perkembangan berita terhadap apa yang sedang berlaku disana.Mendengar kisah pengalaman sahabat yang telah kembara disana tanpa apa-apa masalah membuatkan saya cemburu untuk ke sana.
Pelawaan un…

21st Century Maritime Silk Road and Chinese Soft Review and Prospect

Perbincangan mengenai 'Silk Road' atau Laluan Sutera akan sama sekali menyentuh period era Kerajaan Melayu Malaka, ini dijelaskan menerusi pembentangan oleh Prof. Zhang Xiping bertajuk Malacca: The Dynamic Nexus of East West Contact (merupakan pengarah Institut Pengajian China Antarabangsa, Universiti Pengajian Hubungan Luar Beijing, China) dan menyentuh berkenaan kerajaan Samudra merujuk 'Sumatera'. Seminar Antarabangsa dibawah tajuk 21st Century maritime Silk Road and Chinese Soft Power : Review and Prospect. Apa yang perlu diperhati di sini adalah fakta dan pensejarahan Melaka sekaligus Sumatera. 
Pertama menyentuh rujukan yang digunapakai masih mengambil dari sumber2 lama dari barat sekalipun perbincangan ada merentas period kolonial. Dari aspek sejarah adalah pengulangan fakta dari sumber yang sama iaitu melihat Melaka dari perspektif sejarah perdagangan India dan berkitar di Lautan India. Pada kebiasaannya dalam penulisan sejarah Kepulauan Melayu-Indonesia (Melak…