Skip to main content

Mengimbas kembali jasa Allahyarham Tun Abdur Razak

40 tahun pemergian Allahyarham Tun Abdur Razak:
Mengimbas kembali  jasa Allahyarham Tun Abdur Razak


oleh

Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad



Tanggal 14 Januari ini genap sudah 40 tahun pemergian Allahyarham Tun Abdur Razak Hussein,Perdana Menteri Malaysia kedua yang digelar ‘Bapa Pembangunan’.

Generasi baru walaupun tidak berkesempatan hidup pada zaman  Allahyarham Tun Abdur Razak harus tetap menghargai jasa dan pengorbanan tokoh negarawan seperti allahyarham Tun Abdur Razak ini seterusnya meneladani usaha-usaha beliau dalam menyumbang bakti kepada negara Malaysia tercinta.


Allahyarham Tun Abdur Razak wajar dianggap penyelamat negara tatkala negara dilanda tragedi hitam 13 Mei 1969 dan peranan beliau sebagai Pengarah Majlis Gerakan negara(MAGERAN) berjaya memulihkan kestabilan negara ,menyatupadukan kembali rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.Rukun Negara diperkenalkan dan Tun Abdur Razak sentiasa menekankan aspek perpaduan kaum dan ingin melihat semua rakyat Malaysia sentiasa bersatupadu demi negara tercinta. Beliau juga mengasaskan penubuhan Barisan Nasional dari Parti Perikatan dan ketika zaman beliaulah UMNO dan PAS bersatu didalam Barisan Nasional.Tun Abdur Razak juga diamanahkan oleh Tunku Abdur Rahman  untuk berunding bagi menamatkan  konfrontasi Malaysia-Indonesia dan ini jelas membuktikan bahawa Tun Abdur Razak tidak menyukai apa jua permusuhan dan sentiasa mahu melihat suasana yang aman damai dan harmoni.


Melalui pengenalan Dasar Ekonomi Baru(DEB),Tun Abdur Razak berusaha untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat khususnya di luar bandar dan berusaha untuk mengagihkan kekayaan negara secara adil dan tidak meminggirkan mana-mana kaum. Tun Abdur Razak memberi fokus kepada pembangunan luar bandar dan membangunkan infrastruktur seperti jalan raya bertar,hal perparitan,bekalan elektrik,penyediaan paip air,pembinaan bangunan sekolah dan bangunan kerajaan 

.
Melalui program Buku Merah beliau mewujudkan ‘Bilik Gerakan’ yang memberi perhatian kepada perancangan  pembangunan  di luar bandar  dan beliau memberi keutamaan kepada penyediaan kemudahan pendidikan,klinik kesihatan,bantuan subsidi baja,biasiswa pelajaran dan buku teks serta makanan tambahan kanak-kanak disamping penyediaan rumah murah untuk rakyat.Beliau juga memperkenalkan  Rancangan Buku Hijau sebagai usaha untuk menambahkan hasil makanan agar cukup untuk keperluan rakyat dan negara serta memanfaatkan  sebaik mungkin penggunaan tanah untuk perkembangan sektor ekonomi pertanian.

Beliau juga sering turun padang sendiri melihat keadaan kehidupan rakyat di kampung-kampung dan berkerja keras untuk mengatasi jurang antara kehidupan rakyat di bandar dan di luar bandar.

Allahyarham Tun Abdur Razak juga yang menyokong penuh penubuhan FELDA,MARA(termasuk MRSM-ITM/UITM,Pusat Giat Mara-Institut Kemahiran MARA),PERNAS-FELCRA-MARDI-UDA-RISDA-PETRONAS-MAS dan lembaga-lembaga kemajuan di peringkat negeri seperti Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara(DARA),Lembaga Kemajuan Johor Tenggara(KEJORA),Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah(KETENGAH)  serta penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara.Penubuhan pelbagai agensi dan institusi ini memudahkan hal pengurusan yang diatur dengan lebih sistematik dan meningkatkan kecekapan pentadbiran  seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi  negara dan kebajikan rakyat.


Allahyarham Tun Abdur Razak memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan rakyat melalui penubuhan pelbagai universiti seperti  UM,USM, ITM UITM, UKM, UPM, UTM  dan maktab-maktab perguruan ,kolej kemahiran dan pembangunan sekolah-sekolah di seluruh negara.Pengenalan Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 membuktikan komitmen Tun Abdur Razak dalam memantapkan pendidikan negara dan usaha beliau memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia jelas membuktikan beliau sangat mengambil berat terhadap perpaduan antara rakyat Malaysia.Pemerkasaan agenda pendidikan negara ketika itulah yang melahirkan generasi yang berjaya merubah nasib diri dan keluarga mereka seterusnya menyumbang kembali kepada pembangunan negara masa kini.

Tun Abdur Razak juga jelas merupakan seorang yang berwawasan jauh,penuh semangat diplomasi dan bijak dalam hubungan antarabangsa dimana beliau merupakan salah seorang pemimpin yang mengasaskan ASEAN,membawa Malaysia menyertai NAM,mengaktifkan Malaysia dalam penglibatan bersama OIC dan membuka jalan hubungan yang lebih baik dengan negara China.

Beliau jugalah yang bertanggungjawab memberi ruang kepimpinan kepada tokoh-tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad,Tun Musa Hitam,Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan sebagainya sehingga mereka mampu menyumbang kepakaran mereka kepada pembangunan negara.


Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah  sewaktu mengulas tentang jasa allahyarham Tun Abdur Razak pernah mengungkapkan :- ‘’Tiada sebarang kemajuan hari ini dapat dipisahkan dengan bakti Tun Razak.Petronas ialah Tun Razak,DEB ialah Tun Razak,Bank Bumiputera ialah Tun Razak,Dasar Perindustrian ialah Tun Razak,Dasar Pendidikan ialah Tun Razak,Dasar Pembangunan Luar Bandar ialah Tun Razak,universiti-universiti kebanyakannya ialah Tun Razak dan banyak lagi tanda pusaka Tun Razak yang tidak boleh kita lupakan.Sebahagian besarnya dicipta pada saat Tun Razak sedang menderita sakit.Tun Razak meninggal dunia ketika berkhidmat untuk orang Melayu dan negara’’


Jasa dan sumbangan besar allahyarham Tun Abdur Razak kepada negara wajar sentiasa dikenang dan dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia . Malaysia telah kehilangan seorang negarawan berjiwa rakyat yang telah berkerja keras bagi memajukan negara tercinta ini.Hasil usaha beliau dan tokoh-tokoh pejuang terdahulu,generasi kini mampu menghirup nafas keamanan di  tanah air sendiri dan merasai nikmat kemerdekaan.Semoga perjuangan allahyarham Tun Abdur Razak tetap diteruskan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Bersama Hijjaz Kasturi ,Arkitek Terkenal

Pembentangan menarik arkitek terkenal negara,Hijjaz Kasturi di ASWARA lewat petang tadi. Hijjaz Kasturi yang bertanggungjawab merekabentuk bangunan-menara yang unik-unik di Malaysia seperti menara rebung TM,bangunan Tabung Haji,menara Maybank,Pusat Konvensyen Putrajaya ,menara Alor Star dan banyak lagi.





Beliau bicara soal idea INOVATIF ,rekabentuk yang menekankan aspek GO GREEN,dan kerja-kerja KREATIF. Idea senibina beliau punya makna tersendiri dan penuh falsafah disamping menerap mesej kemelayuan keislaman kemalaysian. Misalnya menara Maybank punya falsafah dari rekabentuk keris Melayu manakala Tabung Haji itu ada falsafah rukun Islam dari rekabentuknya.Beliau mengharapkan kita tetap membahaskan soal rekabentuk yang mempunyai ciri kemalaysiaan. Bagi seorang arkitek kata beliau rekabentuk masing-masing selalunya dipengaruhi juga oleh "school of thought" mereka. Beliau juga melontarkan persoalan bagaimana ukiran Melayu turut dipengaruhi oleh suasana persekitaran,kebudayaan ora…

Catatan Kembara di Thailand

oleh Wan Mohamad Wasif Catatan Kembara di Thailand
Sudah lama saya memasang niat untuk kembara ke Selatan Thailand apatahlagi selepas mendengar kisah pengalaman sahabat-sahabat yang mengadakan pelbagai program kebajikan dan pendidikan disana.


Ada yang ke sana membuat kajian tentang sejarah dan tokoh di Pattani,ada yang menjadi sukarelawan mengajar Bahasa Melayu di sana,ada yang mengisi pelbagai program khusus untuk anak-anak yatim disana.Faktor keselamatan sering menghalang saya untuk kembara ke sana,apatahlagi tv di Malaysia sering juga memaparkan berita tentang pembunuhan-tembak menembak di Selatan Thailand sehingga mengerunkan sebahagian orang  untuk ke sana dan beberapa kali juga saya dinasihatkan untuk menangguhkan kunjungan ke sana atas faktor keselamatan oleh sebahagian orang yang mengikuti perkembangan berita terhadap apa yang sedang berlaku disana.Mendengar kisah pengalaman sahabat yang telah kembara disana tanpa apa-apa masalah membuatkan saya cemburu untuk ke sana.
Pelawaan un…

21st Century Maritime Silk Road and Chinese Soft Review and Prospect

Perbincangan mengenai 'Silk Road' atau Laluan Sutera akan sama sekali menyentuh period era Kerajaan Melayu Malaka, ini dijelaskan menerusi pembentangan oleh Prof. Zhang Xiping bertajuk Malacca: The Dynamic Nexus of East West Contact (merupakan pengarah Institut Pengajian China Antarabangsa, Universiti Pengajian Hubungan Luar Beijing, China) dan menyentuh berkenaan kerajaan Samudra merujuk 'Sumatera'. Seminar Antarabangsa dibawah tajuk 21st Century maritime Silk Road and Chinese Soft Power : Review and Prospect. Apa yang perlu diperhati di sini adalah fakta dan pensejarahan Melaka sekaligus Sumatera. 
Pertama menyentuh rujukan yang digunapakai masih mengambil dari sumber2 lama dari barat sekalipun perbincangan ada merentas period kolonial. Dari aspek sejarah adalah pengulangan fakta dari sumber yang sama iaitu melihat Melaka dari perspektif sejarah perdagangan India dan berkitar di Lautan India. Pada kebiasaannya dalam penulisan sejarah Kepulauan Melayu-Indonesia (Melak…