Skip to main content

Dunia Pemikiran Jaafar Rahim

Dunia Pemikiran Jaafar Rahim
oleh
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
(Diolah dalam bentuk tulisan hasil pembentangan buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim (siri 1)pada acara BiblioPhillia Cross Campus (25 Oktober 2016)di UNIKL Business School, Yayasan Selangor)


Terima kasih buat tuan rumah Unikl Business School yang bersama-sama dengan PKPIM KLMU,Haluan Siswa Unikl,UBIS Islamic Center berkerjasama erat mengadakan acara BiblioPhillia Cross Campus ini.Siapa kata anak muda kita tidak minat buku dan soal pemikiran?Kehadiran anda semua membuktikan masih ada anak muda kita yang berminat soal buku,pemikiran melalui penganjuran siri diskusi buku dan hal-hal keintelektualan.
Petang ini kita akan membicarakan buku karya Dato Jaafar Rahim’ Dunia Pemikiran Jaafar Rahim’ dan yang menarik juga pada petang ini disebelah saya ini turut hadir penulis buku yang kita akan bahaskan petang ini iaitu Dato Jaafar Rahim itu sendiri.Dato Jaafar Rahim ini untuk maklumat rakan-rakan sekalian kami Jaringan Anak Muda menggelar beliau ‘Edward De Bono Malaysia’ dan kami sering ‘lepak’ diskusi khususnya berkaitan pembacaan buku,pemikiran-falsafah-mantiq,penulisan di rumah beliau.Lepak diskusi bersama beliau itulah kami Jaringan Anak Muda memanggilnya sebagai siri kuliah Universiti Jaafar Rahim atau UJR.Di rumah beliau terdapat ribuan buku pelbagai topik dan beliau sering berkongsi hasil bacaan beliau kepada kami.
Pernah sekali saya membawa rakan saya dari Indonesia melawat Dato Jaafar Rahim dan rakan saya itu terkejut melihat pelbagai buku yang terdapat di rumah Dato Jaafar Rahim bahkan ketika beliau keluar dari tandas di rumah Dato Jaafar Rahim,beliau memberitahu saya ‘Wah,Wasif.Terkejut saya masuk bilik air tadi.Dalam bilik air pun ada buku bacaan!’.Begitulah Dato Jaafar Rahim yang selalu memberi peringatan kepada kami agar sentiasa membaca buku,menulis,mempelajari ilmu falsafah-pemikiran-mantiq,dan mencari hikmah dimana-mana sahaja.
Sebelum mengupas buku ini izinkan saya mengupas beberapa perkara yang nantinya akan mempunyai kaitan dengan apa yang kita akan bincangkan pada petang ini.
Saudara saudari pencinta hikmah sekalian
Di tangan saya ini ialah keratan akhbar berkenaan keretapi berkelajuan tinggi Jepun,Shinkansen.Akhbar ini menceritakan kisah awal pengenalan kewujudan Tokaido Shinkansen dari Tokyo ke Osaka pada bulan Oktober 1964 dengan kelajuan 200 kph kemudiannya pada tahun 1972 pengenalan generasi kedua Shinkansen diantara Shin-Osaka dan Okayama dengan kelajuan 220 kph .Diceritakan juga bagaimana pengenalan siri e5,e 6 dan e7 Shinkansen dengan kelajuan sehingga 320 kph dan membuatkan tempoh dari Tokyo ke Kanazawa dengan jarak 450 kilometer hanya mengambil masa sekitar 2 jam dan 28 minit sahaja.Itu di Jepun.Kita lihat perkembangan di Negara kita dimana akan datang kita berusaha mewujudkan keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur ke Singapura dengan anggaran masa sekitar 90 minit sahaja.Selepas ini jika sudah siap keretapi ini bolehlah kita makan tengahari disini dan minum petang di Marina Bay,Singapura dan balik makan malam disini pula.Apakah semua ini mampu tercipta jika bukan kerana usaha manusia untuk berfikir?
Siapa dikalangan anda yang minat membaca komik dan menonton kartun Doraemon seperti saya?Ok ,pastinya banyak perkara yang kita raih hasil bacaan komik dan menonton kartun Doraemon ini seperti hal pemikiran futuristik-masa hadapan,imaginasi,kreativiti dan sebagainya.Pastinya Fujio F Fujiko melalui karya komik Doraemon turut mahu membuatkan kita berfikir dan terus berfikir.
Kita ke Korea pula.Barangkali ramai dikalangan anda yang meminati muzik dan tarian K Pop.Agak-agaknya jika muzik-tarian K pop itu statik,pasif dan tidak kreatif tanpa sebarang gerak tari yang menarik,muzik-bunyi-bunyian rancak,mampukah ia menarik perhatian anak muda?Bukankah K Pop ini juga hasil kreativiti manusia yang berfikir?Begitu juga produk-produk Samsung,Hyundai dan lain-lain.Saya teringat kisah bagaimana Korea yang suatu ketika dahulu ketinggalan dalam beberapa aspek dan lebih kurang setaraf Malaysia juga,ada pegawai kerajaan Korea yang mendapat latihan kepimpinan-pengurusan di Malaysia dan kini pegawai kerajaan Malaysia juga ada yang mendapat latihan kepimpinan-pengurusan di Korea,kisah Saemaul Undong di Korea dan Felda di Malaysia,dan pertemuan pemimpin Korea bersama allahyarham Tun Abdur Razak dimana mereka melihat sedutan ayat Al-Quran berkenaan perubahan diri yang menyuntik perubahan pemikiran mereka.Semuanya ini bukankah berkaitan kepentingan buat kita merubah diri bahkan pemikiran kita?
Kita ke China pula.Di pelbagai negara di pelusuk dunia terdapat China Town.China sekarang dengan OBOR-One Belt One Road sedang melebarkan sayap ekonominya(termasuk di negara kita sebagai contoh projek China-Malaysia di Kuantan-Melaka( di Melaka ini mengingatkan kita kepada sejarah kesultanan Melayu Melaka dan kisah Laksamana Cheng Ho) dan tidak lupa budayanya.Saya membaca akhbar berkaitan negara China (versi Bahasa Inggeris) dimana di tempat yang dikatakan tempat kelahiran Confucius,Shandong,para pakar pemikiran Confucius-budayawan-pakar sejarah mendesak Presiden Xi Jinping untuk memperkasakan soal budaya tradisi-sejarah termasuk pemikiran tokoh pemikir seperti Confucius dan ternyata Presiden China memberi perhatian berat terhadap soal pemikiran ini termasuk dengan usaha penubuhan pelbagai institut Confucius di serata dunia .Dalam keghairahan membangun ekonomi,nampaknya China kontempori dengan mengambil semangat sejarah ketamadunannya tidak sesekali melupakan aspek pembangunan pemikiran-budaya,tradisi sejarahnya.Bukankah ini membuktikan soal pemikiran-budaya berfikir ini cukup penting kepada kita?
Saudara saudari para pengembara ilmu sekalian.
Saya nampaknya memulakan diskusi ini dengan membawa anda ‘kembara’ sebentar ke Jepun,Korea dan China walaupun tanpa alat dalam poket Doraemon,mesin perentas masa,pintu ajaib dan sebagainya.Semua kisah yang saya bawa itu sebenarnya mahu menjentik pemikiran anda sekalian dan saya berharap anda juga berusaha berfikir tentang apa sebenarnya mesej yang saya ingin sampaikan sebentar tadi.Selepas saya menghabiskan bacaan buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim ini juga sebenarnya ia membuatkan saya semakin berminat untuk berfikir dan terus berfikir.
Buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan ia mengumpulkan koleksi tulisan Dato Jaafar Rahim dalam kolum Utusan ‘Dunia Pemikiran Bersama Jaafar Rahim’ setiap hari Rabu sejak tahun tahun 1993 sehingga 1996 dahulu.Ia menampilkan 72 buah esei Dato Jaafar Rahim dengan pembahagian kepada 3 bidang perbincangan iaitu bidang pemikiran (33 buah esei),pemikiran kreatif (19 esei) dan keilmuan (20 esei) Petang ini saya tidak berhajat untuk membahaskan soal ‘visual and imaginative thinking’,pemikiran logik,lateral,kreatif,imaginative,birokratik,strategik,analitikal,soal ‘split brain theory’(Roger Sperry-‘teori pemisahan otak’),perbahasan hemisfera kiri dan kanan(soal antara kritis-membuat keputusan dan kreatif,seni,imaginasi,visual),soal ‘whole brain thinking’-‘konsep pemikiran keseluruhan otak)-CORT(Cognitive Research Trust Thinking),istilah ‘terra incognita’,’argumentum ad verecundiam’,perbahasan Edward De Bono berkenaan pemikiran lateral(‘mengali beberapa lubang dengan lebih mendalam pada berbagai tempat’) dan pemikiran kritis(‘mengali sebuah lubang lebih dalam pada suatu tempat’) yang semuanya menarik perhatian saya selepas membaca buku ini.Perbahasan isu ini saya tinggalkan kepada Dato Jaafar Rahim yang akan mengulas kupasan saya terhadap beberapa isi penting buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim sebentar nanti.
Antara tajuk topik yang terdapat dalam buku ini yang menarik perhatian saya antaranya Belajar daripada falsafah Confucius, Mentafsir kebudayaan kebangsaan ,Pemikiran abad akan datang ,Buaya Puchong dan pemikiran ,dan Keberanian untuk mencipta.Untuk siri pertama diskusi buku ini pada hari ini eloklah kita memberi tumpuan kepada perbahasan dalam topik-topik ini terlebih dahulu.
Dalam tulisan beliau bertajuk ‘Belajar daripada falsafah Confucius’ dalam buku ini ,Datuk Jaafar Rahim mengungkapkan bahawa :- ‘Confucius banyak berfalsafah tentang hal-hal kemanusiaan,akhlak,keluarga,keilmuan dan politik.Falsafah kemanusiaannya pergi ke akar kemanusiaan.Hal inilah membuatkan falsafahnya mencapai tahap pemikiran yang tinggi.’
Dalam siri kuliah ‘Universiti Jaafar Rahim’ Jaringan Anak Muda,sememangnya Dato Jaafar Rahim sering mengupas berkenaan pemikiran Confucius kepada kami.Dalam tulisan ini juga beliau sebenarnya mengupas hasil seminar antarabangsa dialog Islam dan Confucius anjuran Universiti Malaya suatu ketika dahulu .Profesor Emeritus Dato Dr Osman Bakar yang juga terlibat dalam penganjuran seminar ini pernah memberitahu kami bahkan dalam siri syarahan beliau tentang betapa pentingnya penganjuran seminar sebegini.Dalam buku ini Dato Jaafar Rahim mengupas sejarah hidup Confucius ,tema utama pemikiran Confucius,kupasan karya Lun Yu:Pembicaraan Confucius,soal pembelajaran,kebudimanan,tradisi keilmuan,akhlak terhadap ibu bapa dan saudara,pesanan buat bakal pemerintah dan ahli politik,budi pekerti-akhlak dan kebenaran menurut Confucius.
Menutup artikel ini juga Dato Jaafar Rahim mengatakan ‘Confucius memang membicarakan falsafah manusia yang bersifat sarwajagat.Sesungguhnya dialog antara Confucianisme dengan Islam cukup penting untuk melihat hubungan antara kedua-dua peradaban ini yang menjadi peradaban dunia’.Falsafah Confucius ini wajar didalami oleh anak-anak muda khususnya peminat pemikiran tokoh pemikir .Saya berharap selepas ini rakan-rakan sekalian cuba mengkaji pemikiran Confucius dengan lebih mendalam dan membaca karya beliau.Rakan-rakan sekalian juga boleh berkunjung ke institut yang mengkaji berkenaan Confucius yang juga terdapat di negara kita.
Saudara saudari calon intelektual muda sekalian,
Saya berharap anda semua tidak jemu mendengar kupasan saya petang ini.Kita pastinya bukan melepak santai membicarakan sesuatu yang langsung tidak bermanfaat.Kita membicarakan soal keilmuan.Dato Jaafar Rahim dalam buku ini juga dalam tulisan beliau ‘Mentafsir kebudayaan kebangsaan’ juga ada mengatakan bahawa:- ‘’Media massa lebih menghargai penyanyi,pelakon,penari,atau ahli muzik daripada ilmuwan,sarjana dan cendekiawan.’ dan ‘masyarakat lebih tertarik kepada hal-hal yang popular dalam masyarakat daripada hal-hal yang bersifat keilmuan’.
Buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim ini mengupas banyak perkara berkaitan hal-hal keilmuan.Saya berharap anda semua terus membina hubungan rapat dengan para ilmuan,sarjana dan cendekiawan dan sentiasa berminat dalam hal-hal keilmuan dan keintelektualan sepertimana saranan Dato Jaafar Rahim dalam buku ini.Sesuai dengan status anda semua sebagai mahasiswa,anda semua mestilah meningkatkan tahap keilmuan anda .Dulu semasa kita masih kecil,dari ‘budak hingusan’ yang tidak tahu apa-apa bermula tahap demi tahap proses pembelajaran kita dari tadika,sekolah rendah,sekolah menengah,pra universiti hinggalah sekarang kita menuntut ilmu di universiti,biarlah berlaku peningkatan tahap keilmuan kita.
Penganjuran diskusi kelompok kecil seperti ini sebenarnya satu usaha dan proses sistematik bagi meningkatkan tahap keilmuan kita juga sebenarnya.Kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjunjung nilai ilmu seperti kata Dato Jaafar Rahim dalam tulisan yang sama dimana beliau mengungkapkan bahawa:- ‘Masyarakat ini haruslah menjunjung nilai ilmu dan nilai kebenaran sebagai nilai yang tertinggi dalam kehidupan.Ertinya kebudayaan kebangsaan haruslah ditegakkan atas nilai ilmu dan kebenaran bukan semata-mata atas dasar kepentingan politik.Untuk tujuan itu masyarakat haruslah melihat kebudayaan kebangsaan dalam paradigma ilmu pengetahuan.Maksudnya budaya tidak sahaja harus dilihat sebagai kegiatan kesenian bahkan sebagai kegiatan keilmuan’.
Rakan-rakan calon pemikir sekalian,
Satu lagi yang menarik perhatian saya sewaktu membaca buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim ini ialah bagaimana Dato Jaafar melontarkan idea penubuhan institut pemikiran kreatif,penubuhan kelab berfikir dan sebagainya berkenaan usaha memantapkan pemikiran-budaya berfikir .Dalam tulisan ‘Pemikiran abad akan datang’ ,Dato Jaafar Rahim menyatakan bahawa :-‘Kerajaan atau pihak swasta haruslah menubuhkan institut pemikiran kreatif.Tempatkan golongan muda yang kreatif yang datangnya daripada pelbagai profesion dan keilmuan dalam institut ini.Hargai idea gila-gila mereka.Mereka yang ada idea gila-gila ,yang songsang,yang keluar dari kebiasaan,yang melompat-lompat,yang tak menentu dan yang kabur hendaklah dipilih untuk mengajar rakan-rakan muda yang lain,yang kurang atau tidak kreatif’.
Siapa yang rasa diri dia itu kreatif sila angkat tangan.Ada idea gila-gila?Ada tak kelab berfikir disini?Saya harap lebih ramai dikalangan kita yang berani berfikir dan berani juga berkongsi dan melontarkan buah fikiran bernas mereka.Jangan takut untuk berfikir.Apa guna kurniaan aqal-otak kepada kita jika kita malas berfikir?Bagaimana bentuk institut pemikiran kreatif,kelab berfikir itu nanti?Ini pun harus kita sama-sama fikir.
Ada satu contoh dalam buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim ini yang saya rasa boleh membuka jalan kepada kita untuk memperkasakan budaya berfikir dalam kalangan anak muda kita.Saudara sekalian pernah melihat buaya?Jika belum pernah barangkali saudara perlu ‘melawat’ buaya di Zoo Negara.Buaya pun dah semakin pupus.Suatu ketika dahulu kecoh di negara kita tentang Buaya Puchong.Media massa dan orang ramai terus memperkatakan perihal buaya ini.Tetapi yang menariknya isu buaya ini dikupas oleh Dato Jaafar Rahim dalam tulisan beliau ‘Buaya Puchong dan pemikiran’ lain daripada yang lain.Apa yang beliau ungkapkan sewaktu mengupas isu buaya Puchong yang heboh dan kecoh itu?
Dato Jaafar Rahim sewaktu mengulas isu buaya Puchong ini mengatakan bahawa:- ‘Buaya Puchong itu mengajak kita merangka strategi yang kreatif dan yang diluar kebiasaan bukan sahaja untuk menyelamatkan generasinya bahkan haiwan lain yang 'teraniaya' oleh pembangunan yang hampir-hampir tak mengenal erti kemanusiaan dan kehaiwanan.Buaya Puchong mengajar kita erti falsafah alam sekitar atau istilah yang disebut sebagai eco-philosophy.Falsafah alam sekitar dalam konteksnya yang tertinggi ialah pemikiran tentang cara memartabatkan alam sekitar melalui pengawalan dan pengekalan alam sekitar.’.
Lihatlah betapa bezanya pemikiran seseorang yang rajin berfikir dengan seseorang yang malas berfikir atau melihat sesuatu dari satu sudut sahaja atau sekadar reaksi spontan terhadap sesuatu isu sahaja .Isu buaya dilihat berdasarkan fikiran berlapis-lapis,dari pelbagai sudut,dan cuba dikaitkan dengan persoalan falsafah itu sendiri.Saya berharap kita semua juga dapat berfikir seperti itu juga apatahlagi dengan pelbagai isu yang heboh atau ‘viral’ di Facebook dan media sosial lainnya.Janganlah kita malas berfikir,atau mengulas sesuatu isu tanpa berfikir terlebih dahulu atau terlalu mudah terperangkap dalam perbahasan remeh temeh semata-mata.Sebagai seorang mahasiswa,anda semua harus memiliki satu budaya berfikir tahap tertinggi dan ini tidak akan diperolehi sekiranya anda menyerahkan tugas berfikir ini kepada orang lain atau orang lain pula yang berfikir bagi pihak anda dan anda sekadar menjadikan kurniaan aqal-otak kepada anda sebagai hiasan semata-mata.
Rakan-rakan pencinta ilmu dan diskusi sekalian,
Menarik tentang buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim ini juga ialah bagaimana Dato Jaafar Rahim turut membawa pelbagai kisah-motivasi kepada para pembaca.Petang ini saya berkongsi kepada rakan-rakan sekalian sedutan kisah yang dipetik oleh Dato Jaafar Rahim dalam tulisan beliau ‘Keberanian untuk mencipta’ :- ‘’Cerita Robbins yang tidak kurang menariknya adalah tentang kisah kegagalan seseorang yang bertimpa-timpa tetapi akhirnya dia menemui kejayaan.Kata Robbins,orang ini gagal dalam perniagaan semasa berumur 31 tahun.Dia dikalahkan dalam perlumbaan untuk menjawat jawatan legislatif semasa berumur 32 tahun.Menghadapi kematian buah hati,35 tahun.Diserang sakit saraf,36 tahun.Kalah dalam pilihanraya 38 tahun,kalah dalam pilihanraya kongres 43 tahun,46 tahun,48 tahun.Kalah lagi dalam perlumbaan untuk menjadi senator,55 tahun.Gagal menjadi Naib Presiden ,56 tahun.Kalah lagi dalam perlumbaan untuk menjadi senator,58 tahun.Akhirnya dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat semasa berumur 60 tahun.Orang itu ialah Abraham Lincoln.Tanya Robbins,dapatkah Lincoln menjadi Presiden Amerika Syarikat sekiranya dia melihat kekalahannya dalam pilihanraya sebagai kegagalan?’’
Pastinya kita disini pun juga pernah gagal dalam sesuatu perkara.Anda pernah gagal ?Biasalah kadangkala kita berjaya dalam sesuatu perkara dan gagal dalam sesuatu perkara yang lain pula.Kegagalan itu janganlah sesekali membuatkan kita berputus asa dan membuatkan kita berhenti dari berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan dalam hidup kita.Dato Jaafar Rahim membawa pelbagai kisah dalam buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim ini.Kisah-kisah ini berkaitan kehidupan kita juga dan menuntut kita agar berfikir dan menyelami hikmah tersirat dari pelbagai kisah perstiwa tersebut.
Saudara-saudari rakan-rakan pencandu ilmu sekalian,
Masa cukup mencemburui kita pada petang ini.Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir mendengar kupasan saya pada petang ini.Saya berharap selepas ini rakan-rakan sekalian cuba mendapatkan buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim yang cukup berharga untuk para pencinta ilmu sekalian.Rakan-rakan boleh mengajukan soalan sendiri juga kepada penulis buku Dunia Pemikiran Jaafar Rahim,Dato Jaafar Rahim yang sedang duduk di sebelah saya ini selepas ini.Terima kasih kepada semua yang sudi mendengar.Kita buka kepada perbahasan-sesi soal jawab pula.Semoga bermanfaat kepada semua.

Comments

Popular posts from this blog

Bersama Hijjaz Kasturi ,Arkitek Terkenal

Pembentangan menarik arkitek terkenal negara,Hijjaz Kasturi di ASWARA lewat petang tadi. Hijjaz Kasturi yang bertanggungjawab merekabentuk bangunan-menara yang unik-unik di Malaysia seperti menara rebung TM,bangunan Tabung Haji,menara Maybank,Pusat Konvensyen Putrajaya ,menara Alor Star dan banyak lagi.





Beliau bicara soal idea INOVATIF ,rekabentuk yang menekankan aspek GO GREEN,dan kerja-kerja KREATIF. Idea senibina beliau punya makna tersendiri dan penuh falsafah disamping menerap mesej kemelayuan keislaman kemalaysian. Misalnya menara Maybank punya falsafah dari rekabentuk keris Melayu manakala Tabung Haji itu ada falsafah rukun Islam dari rekabentuknya.Beliau mengharapkan kita tetap membahaskan soal rekabentuk yang mempunyai ciri kemalaysiaan. Bagi seorang arkitek kata beliau rekabentuk masing-masing selalunya dipengaruhi juga oleh "school of thought" mereka. Beliau juga melontarkan persoalan bagaimana ukiran Melayu turut dipengaruhi oleh suasana persekitaran,kebudayaan ora…

Catatan Kembara di Thailand

oleh Wan Mohamad Wasif Catatan Kembara di Thailand
Sudah lama saya memasang niat untuk kembara ke Selatan Thailand apatahlagi selepas mendengar kisah pengalaman sahabat-sahabat yang mengadakan pelbagai program kebajikan dan pendidikan disana.


Ada yang ke sana membuat kajian tentang sejarah dan tokoh di Pattani,ada yang menjadi sukarelawan mengajar Bahasa Melayu di sana,ada yang mengisi pelbagai program khusus untuk anak-anak yatim disana.Faktor keselamatan sering menghalang saya untuk kembara ke sana,apatahlagi tv di Malaysia sering juga memaparkan berita tentang pembunuhan-tembak menembak di Selatan Thailand sehingga mengerunkan sebahagian orang  untuk ke sana dan beberapa kali juga saya dinasihatkan untuk menangguhkan kunjungan ke sana atas faktor keselamatan oleh sebahagian orang yang mengikuti perkembangan berita terhadap apa yang sedang berlaku disana.Mendengar kisah pengalaman sahabat yang telah kembara disana tanpa apa-apa masalah membuatkan saya cemburu untuk ke sana.
Pelawaan un…

21st Century Maritime Silk Road and Chinese Soft Review and Prospect

Perbincangan mengenai 'Silk Road' atau Laluan Sutera akan sama sekali menyentuh period era Kerajaan Melayu Malaka, ini dijelaskan menerusi pembentangan oleh Prof. Zhang Xiping bertajuk Malacca: The Dynamic Nexus of East West Contact (merupakan pengarah Institut Pengajian China Antarabangsa, Universiti Pengajian Hubungan Luar Beijing, China) dan menyentuh berkenaan kerajaan Samudra merujuk 'Sumatera'. Seminar Antarabangsa dibawah tajuk 21st Century maritime Silk Road and Chinese Soft Power : Review and Prospect. Apa yang perlu diperhati di sini adalah fakta dan pensejarahan Melaka sekaligus Sumatera. 
Pertama menyentuh rujukan yang digunapakai masih mengambil dari sumber2 lama dari barat sekalipun perbincangan ada merentas period kolonial. Dari aspek sejarah adalah pengulangan fakta dari sumber yang sama iaitu melihat Melaka dari perspektif sejarah perdagangan India dan berkitar di Lautan India. Pada kebiasaannya dalam penulisan sejarah Kepulauan Melayu-Indonesia (Melak…