Skip to main content

Novel:Edensor(karya Andrea Hirata)

oleh

Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad
Facebook:Wasif Wan
www.jaringananakmuda.blogspot.com

Bagi mereka yang suka mengembara;mempelajari budaya;memerhati manusia;bukan semata-mata berjalan-jalan melancong kosong,karya Andrea Hirata ‘Edensor’ ini wajar dibaca dan pasti anda akan terhibur dengan karya ini seperti karya beliau yang lain ;
Laskar Pelangi,Sang Pemimpi,dan Maryamah Karpov.Edensor ini padat dengan  kupasan sains-geografi-pelbagai fakta menarik,ruang imaginasi luar biasa ,ayat-,ayat mengasyikkan dengan terselit unsur humor,falsafah,kisah romantik,sedih,gembira dan 1001 ragam kehidupan.Seperti mesej dalam karya Andrea Hirata yang lain,perjuangan pendidikan , falsafah erti dan makna kehidupan diabadikan dalam karya beliau ini melalui mozek-mozek ;kisah pendek yang berkesinambungan  jalan ceritanya.Para pembaca seakan dibawa masuk menyelami kehidupan seorang pengembara yang mengharungi kehidupan penuh cabaran.



Edensor ini bermula dari kisah ‘aku’ anak kelahiran kampung dari keluarga;ibubapa yang tidak berpendidikan tinggi tetapi memberi perhatian penuh terhadap pendidikan,dari kehidupan di kampung kemudiannya ‘aku’ ini melanjutkan pendidikan di Sorbonne bersama rakannya Arai dan sebelumnya  singgah ke Belanda,dan kemudiannya ke Belgium dan yang menarik dikisahkan kehidupan sewaktu menuntut ilmu di Perancis ini.Edensor ini menceritakan cabaran hidup di negara orang,rakan-rakan sekelas dari seluruh dunia, professor dan para guru dengan perwatakan dan budaya yang berbeza,usaha keras menyiapkan penyelidikan sehinggalah perancangan kembara cuti musim panas ke seluruh Eropah sehingga ke Afrika yang penuh dengan kisah-kisah menarik dan suka duka kembara ‘Aku’ dan Arai ini.Dari kisah kehidupan ‘aku’ sebagai mahasiswa di negara orang,jatuh cinta dengan gadis cantik buruan ramai jejaka,pengembaraan ‘backpack’ luar biasa dari Eropah ke Afrika,pencarian ‘buah hati’ lama ‘A Ling’ ,dialog imaginasi ‘aku’ bersama Adam Smith dan Rhoma Irama,’debat ekonomi’ Adam Smith vs John Keynes dan banyak lagi diceritakan dengan cukup menarik dalam Edensor ini.









Kembara kehidupan

Watak ‘aku’ dalam Edensor ini seakan berkomunikasi terus dengan pembaca dan ‘aku’ ini berkongsi makna dan cabaran  kehidupan dengan para pembaca.Jelas terpancar keinginan ‘aku’ untuk  mengembara dan mencari erti kehidupan melalui kenyataan ini:-

‘’Aku ingin hidup mendaki puncak cabaran,menerjang batu granit kesulitan,menggoda marabahaya,dan memecahkan misteri dengan sains.Aku ingin menghirup berbagai-bagai pengalaman lalu terjun bebas menyelami labyrinth liku-liku hidup yang hujungnya tak dapat diduga.Aku mendamba kehidupan dengan kemungkinan-kemungkinan yang bereaksi satu sama lain seperti hasil molekul uranium:meletup tak terduga,menyerap,mengikat,menggandakan,berkembang,terurai dan berpencar ke arah yang mengejutkan.Aku ingin ke tempat-tempat yang jauh,menemui beragam bahasa dan orang-orang asing.Aku ingin berkelana,menemukan  arahku dengan membaca bintang dan susunan bintang-bintang.Aku ingin mengharungi padang dan gurun-gurun,ingin melepuh terbakar matahari,melambung dihentam angina,dan menciut dicengkam dingin.Aku ingin kehidupan yang menggetarkan,penuh dengan penaklukan.Aku ingin hidup!Ingin merasakan sari pati hidup!’’

Perjuangan pendidikan


Seperti karya beliau yang lain,Andrea Hirata menyelitkan mesej perjuangan pendidikan ,rasa cinta kepada negaranya dan semangat untuk merubah nasib masyarakat melalui watak ‘aku’ dan rakan baiknya Arai yang kemudiannya bersama-sama meninggalkan tanah air untuk mengembara demi meraih ilmu.Dalam karya ini digambarkan sewaktu ‘aku’ dan Arai bersama berusaha untuk memohon biasiswa-penyelidikan di luar negara dan apa yang menariknya ialah sewaktu ‘aku’ ini berusaha menyiapkan surat motivasi untuk permohonan biasiswa-penyelidikan tersebut.

Dalam surat itu ‘aku’ mengarang (berdasarkan saduran yang dikatakan dalam buku berjudul Garis-garis besar haluan negara) dengan cukup indah seperti berikut:-

‘Akan saya sumbangkan seluruh ilmu dan pengalaman penyelidikan yang saya peroleh di Sorbonne demi kemajuan nusa dan bangsa,demi tanah tumpah darah saya!Tak berlebihan saya sampaikan bahawa secara diam-diam,sebenarnya saya telah lama bercita-cita ingin mencurahkan seluruh kemampuan yang saya miliki,tak dibayar gaji pun tak apa-apa,demi mengangkat harkat dan martabat umat manusia yang masih terbelakang  di negeri saya,negeri yang benar-benar saya cintai dengan sepenuh jiwa’.

Kisah cinta

Dalam karya ini juga dimasukkan elemen kisah cinta dan rindu dimana rakan baik ‘aku’ itu iaitu Arai yang tergila-gilakan ‘Zakiah Nurmala’ yang menurut ‘aku’ itu ‘cinta bertepuk sebelah tangannya itu’ .Walau berada jauh di luar negara,cinta Arai terhadap Zakiah terus terpahat dihatinya walau Zakiah sama sekali tidak menerima cinta tersebut atau kata lain Arai hanyalah ‘bertepuk sebelah tangan’ semata-mata.

‘Baru kutahu ada orang yang ditolak hampir sepuluh tahun tapi tetap kukuh berjuang.Arai tak pernah tertarik pada perempuan lain.Zakiah adalah resolusi dan seluruh definisinya  tentang cinta.Dia telah menulis puluhan puisi untuk belahan hatinya itu,telah menyanyikan lagu di bawah jendela kamar kekasihnya,berhujan-hujan mengejarnya,dan berbasikal puluhan kilometer hanya untuk menemui gadis itu lima minit.Zakiah tetap tak acuh.Mungkin Arai telah diserang sakit gila nombor dua puluh enam:tak dapat membezakan diterima ataupun ditolak’

Watak ‘aku’ itu sendiri penuh dengan kisah cintanya yang penuh misteri dan mengambarkan satu pencarian yang tidak kunjung padam dalam mencari semula ‘A Ling’ buah hatinya yang sudah lama menghilang entah ke mana.Dalam setiap kembaranya ke pelbagai negara ,dalam hatinya ia tetap berusaha untuk mencari dimana ‘A Ling’ itu dan sanggup ke sana ke mari mencari ‘A Ling’ di setiap tempat yang dikunjunginya itu.Dalam ayat ini digambarkan bagaimana ‘aku’ itu sentiasa merindukan ‘A Ling’ .

‘Sementara aku merindukan A Ling.Malam hari,aku lelah menemui sahabat-sahabat lama;di dermaga dan Kedai Runcit Sinar Harapan.Aku melamun di depan kedai yang telah diabaikan itu.Pintu pagar berdecit-decit ditiup angina.Kuingat A Ling berdiri di balik pagar itu,tersenyum padaku.A Miauw telah meninggal.Keluarganya berpecah belah.Sejak meninggalkanku ke Jakarta waktu aku SMP dulu,tak ada yang tahu khabar A Ling.Dia pergi,aku merasa seakan semua makhluk di Belitong dinaikkan Nabi Nuh ke bahteranya,tetapi aku tak diajak,hanya aku sendiri tak diajak.’


Semangat ‘aku’ untuk mencari ‘A  Ling’ dibuktikannya dengan kesanggupan mencari ‘A Ling’ bahkan melalui pencarian internet:Njoo Xian Ling ;walaupun keluar ratusan nama tersebut di pelbagai negara.Ada kisah lucu disebalik pencarian ‘aku’ tersebut .Pencarian pertama di Perancis ;di Chevalier:’Aku bergegas ke Chevalier dengan seribu doa di hatiku.Salah satunya,’ya,Tuhan,kalaupun A ling harus bersuami,tolong,tolong Tuhan,suaminya jangan setampan Hugh Grant!’,pencarian itu ternyata tidak berhasil apabila sebenarnya ‘A Ling’ itu sebenarnya merupakan isteri seorang lelaki tua Cina yang  baru meninggal dunia;namun ‘aku’ itu sempat memaparkan keprihatinannya terhadap  nasib orang tua yang harus hidup bersendirian  selepas isteri kesayangannya meninggal dunia.Pencarian kedua di Bordeaux ;ternyata ‘A Ling ‘ itu hanyalah seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.Pencarian ketiga di Cannes ;lebih menyakitkan apabila ‘A ling’ itu hanyalah;sekeping papan ;papan nama kedai dobi,seterusnya di Iceland ;’A ling’ itu nama pusara isteri kepada  tentera Amerika, di Groningen -rumah pelacuran;’Xian Ling’  sejenis botol ubat kuat,di Milan ;Roxane Ling yang sangat  mirip dengan A Ling yang mengatakan ‘kalau yang kau cari cinta,kau akan menemukannya.Percayalah ucapanku ini ,kau akan menemukannya di Afrika’.Watak ‘aku’ itu tetap tidak putus asa dalam misi mencari ‘A Ling’ sambil kembara bahkan beliau menemui nama serupa nun jauh di Zaire Afrika dan telah berjumpa Sister Nadine di Zaire yang penuh tersirat mengungkapkan : ‘kamu telah mencari A Ling demikian jauh sampai ke Zaire,di tengah-tengah Afrika dan tak engkau temukan.Tidakkah kau berfikir kau telah menemukannya?’.Kata-kata Sister Nadine ini membuatkan ‘aku’ ini tersentak seketika dan berfikir .Ini digambarkan dalam ayat-ayat berikut:-

‘Aku terhenyak.Tiba-tiba ucapan Roxane Ling dan Sister Nadine terangkai dalam kepalaku menjadi sebuah falsafah pencarian,pencarian akan hal-hal yang paling kita inginkan dalam hidup ini dan pencarian akan diri kita sendiri.Maksud Roxane Ling dan Sister Nadine sama sekali tak sama harfiah kalimat mereka.Kerana jika kita berupaya sekuat tenaga ‘menemukan’ sesuatu,dan pada titik akhir upaya itu hasilnya masih nihil,maka sebenarnya kita telah ‘menemukan’ apa yang kita cari dalam diri kita sendiri,yakni kenyataan,kenyataan yang harus dihadapi,sepahit apa pun keadaannya’



Mesej kekeluargaan;cinta ibubapa

Mesej kekeluargaan dan rasa cinta-rindu terhadap kedua ibubapa tercinta digambarkan dalam karya ini dengan cukup baik oleh Andrea Hirata.Dari jauh di luar negara,’aku’ sentiasa terkenangkan kedua ibubapanya dan pengorbanan mereka.Ayah ‘aku’ pula walaupun tidak berpendidikan tinggi tetap memikirkan usaha untuk merubah nasib bangsa dan sentiasa memberi nasihat kepada anaknya agar berjaya dalam kehidupan dan memberi perhatian penuh dalam soal pendidikan.Kerinduan dan menghargai pengorbanan ibubapa ‘aku’ tersirat dalam kata-kata ‘aku’ ini:-

‘Ayah baru bersara.Menghairankan dia dapat bertahan di lombong selama puluhan tahun.Ayah adalah seorang family man.Sejak muda dia mengencangkan tali pinggang,bekerja membanting tulang.Seluruh hidupnya tercurah hanya untuk isteri dan anak-anaknya.Setiap tindak lakunya hanya untuk memberikan yang terbaik pada keluarga’

Begitu juga yang menarik dalam surat daripada ayah ‘aku’ yang ditulis oleh ibunya yang menceritakan kepada ‘aku’ yang berada jauh di luar negara tentang masalah yang melanda kampung mereka seperti harga timah jatuh,nasib para petani,buruh  dan sektor pertanian yang tak menentu,masalah baja,wabak penyakit dan sebagainya.Tergambar harapan besar ibubapa dan keluarga ‘aku’ di kampung kepada ‘aku’ yang berpendidikan tinggi di luar negara agar sentiasa memikirkan permasalahan masyarakat setempat walaupun berada di ‘puncak ‘ dan kepentingan satu sistem pendidikan universiti
yang mampu menawarkan penyelesaian terhadap masalah masyarakat  bukan semata-mata hidup lagak elit di menara gading yang terpisah dari masyarakat.Surat daripada ayah ‘aku’ kepada ‘aku’ itu antaranya berbunyi berikut:-

‘atas semua perkara di atas,inilah maksud surat ayahanda,iaitu seboleh mungkin pendidikanmu di Perancis diarahkan pada bidang kepakaran baja.Janganlah terlalu tinggi sekolahmu,cukup jika kau berhasil mencapai gelaran  pakar bahagian baja sehingga dapat terus dipraktikkan.Adapun saudaramu Arai,sangat berfaedah jika dia dapat mengambil jurusan pembantu bancuh ubat.Elok bukan main gandingan itu.Pada hemat ayahanda dua bidang inilah,pakar baja dan pembantu pembancuh ubat sahaja yang paling diperlukan di kampong kita sekarang ini,agar kita mampu bersaing dengan daerah lain dalam mengejar ketinggalan pada edaran masa pembangunan bangsa ini’.

‘Aku’ cukup terharu dengan sikap kedua ibubapanya selepas membaca surat tersebut dan ini tergambar dalam kata-kata berikut:-

‘Ayahku dengan ketulusannya yang tak terukur,dengan pencen Rp87.300 masih bersemangat memikirkan nasib orang-orang di kampungnya,masih sempat memikirkan apa yang terbaik untuk bangsanya’.


 Mengenal manusia

Kehidupan menuntut ilmu di negara orang dengan rakan-rakan sekelas dari  pelbagai negara seluruh dunia memberi peluang kepada ‘aku’ itu untuk mengenal watak,budaya dan kepelbagaian ragam kehidupan rakan-rakannya dari seluruh dunia.Pemerhatian beliau terhadap kepelbagaian dan perbezaan budaya,gaya hidup  dan adat rakan-rakan yang dikenalinya sepanjang kembara ini memberi satu bentuk pengajaran bermakna buat dirinya.Apatahlagi sememangnya beliau memang seorang yang suka memerhati dan belajar tentang watak-watak manusia yang penuh ragam ini.Ini digambarkan melalui kenyataan ‘aku’ ini:-

‘Sejak dulu,aku senang mengamati kehidupan.Aku selalu tertarik menjadi seperti life observer.Sejak aku menemukan fakta bahawa sebahagian besar orang tak seperti sebagaimana mereka nampak pada zahir,dan begitu banyak orang yang salah ditafsirkan.Di sisi lain,manusia mudah sekali menjatuhkan penilaian,judge minded.Aku suka mempelajari motivasi orang,mengapa dia berkelakuan begitu,mengapa dia dia seperti  dia adanya,bagaimana perspektifnya atas suatu situasi,apa saja jangkaannya.Ternyata apa yang ada dalam kepala manusia seukuran tempurung kelapa menjadi lebih kompleks dari kumpulan galaksi-galaksi.Kawan,di situlah daya tarikan terbesar menjadi seorang life observer.Aku ghairah mengenali kelasku di Sorbonne.Mahasiswa-mahasiswa dari beragam bangsa di dalamnya membuat kelasku seperti makmal tingkah laku.Kelasku bukan sekadar ruang untuk belajar sains tapi juga universiti kehidupan ! ‘

Rakan-rakan sekelas ‘aku’ di universiti antaranya  Gonzales ‘Mamma Mia’ dari Italy,
MVRC Manooj dari India,rakan-rakan Yahudi,Jerman,UK,Amerika,Belanda dan sebagainya menghidupkan suasana kehidupannya di rantau orang.Perbezaan budaya dan gaya hidup tidak menjadi penghalang buat ‘aku’ untuk menjalin persahabatan dengan rakan-rakannya itu.Pembelajaran dalam kelas bersama rakan-rakannya yang 1001 watak itu bahkan memberi pengajaran berharga buat beliau juga.Ini terungkap dalam kata-kata beliau berikut:-

‘Sering aku merasa hairan.Kawanku-kawanku The Brits,Yankee,kelompok Jerman,dan Belanda adalah para pub crawler tulen.Mereka senang mabuk-mabuk.Sering mereka mabuk mulai petang Jumaat dan akan sedar Isnin pagi.Sebahagian hidup seperti bohemian,mengaitkan anting di hidung,mencandu drugs,muzik trash metal,berorientasi seks ganjil,dan tak pernah kelihatan tekun belajar,namun mereka sangat unggul di kelas.Aku yang hidup sesuai dengan tuntunan Dasa Darma Pramuka,taat pada perintah orang tua,selalu belajar dengan tekun dan tak lupa minum susu,jarang dapat melebihi markah mereka.Dengan ini,kutemukan paradoks kedua,dalam diriku sendiri’.

 Misteri cinta

Seperti para pelajar yang keluar negara melanjutkan pelajaran di sebuah negara yang menjadi tumpuan para pelajar dari seluruh dunia,’aku’ berpeluang menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan dari seantero dunia dari negara-negara yang berbeza.Kehidupan indah sebagai mahasiswa di universiti luar negara digambarkan dalam Edensor ini dan yang menariknya Andrea Hirata menyelitkan kisah-kisah cinta dalam karyanya ini.Digambarkan bagaimana ‘aku’ menerima kejutan besar
 apabila gadis cantik yang sentiasa menjadi tarikan rakan-rakan sekelasnya yang cuba sedaya upaya untuk meraih cinta gadis ini akhirnya tanpa disangka memilih dirinya yang sebenarnya cukup rendah diri dan tidak mahu bersaing dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain dalam meraih cinta gadis tersebut.Gadis tersebut ,Katya digambarkan sebagai satu ‘godaan terbesar’ sewaktu beliau belajar di Sorbonne ini.

Katya adalah primadona.Semua lelaki di kelas kami,bererti termasuk aku,jika ditawarkannya kahwin,rela menukar kewarganegaraan,murtad pada bangsa sendiri,untuk menjadi warga Jerman,meski itu bererti harus bekerja membersihkan serombong asap di Bayern sana.Dia jelita namun pesonanya adalah himpunan dari sipu malunya jika digoda,bercahaya matanya jika terkejut,kata-kata yang dipilihnya jika berbahas,dan buku-buku sastera cerdas yang dibacanya.Kenyataan bahawa dia menggilai muzik jaz,membuat Katya semakin cantik bagiku.Katya simply irresistible.Apalagi gesture dia secara eksplisit mengetukkan kod-kod Morse: I am very much available!Masih lowong.Katya,ibarat kolak menjelang buka puasa,dia godaan terbesar di Universite De Paris,Sorbonne’
Walaupun juga menaruh cinta terhadap Katya namun ‘aku’ sedar akan dirinya bahkan berasa ‘rendah diri’ berbanding rakan-rakannya yang lain yang berusaha keras mendekati Katya itu.Ini digambarkan dalam rangkap berikut:-

‘Setiap ada kesempatan,lelaki-lelaki berbagai bangsa mengerumuni Katya,berlumba-lumba membuatnya tertarik.Tapi,meski aku juga pengagum Katya,aku tak termasuk dalam kelompok penebar pesona itu.Aku sedar diri,dari seluruh kemungkinan logic ‘ketertarikan’ lelaki wanita secara fizikal,materialistic,falsafah,idealisme,budaya,tanggapan,serasi,gengsi,atau apa pun,tak sedikit pun aku memenuhi syarat kelayakan Katya’

Namun tanpa disangka-sangka Katya itu sendiri yang menaruh cinta kepada ‘aku’ itu melalui email ringkas yang dikirim Katya kepada ‘aku’ dan akhirnya mereka berkawan rapat dan sering keluar bersama lagak kekasih. 


Dialog imaginasi foto Adam Smith dan Rhoma Irama

‘Aku’ yang cukup mengkagumi pemikir ekonomi Adam Smith dan penyanyi dangdut terkenal Indonesia,Rhoma Irama menggantung foto kedua mereka dibiliknya.Dan yang menarik dalam Edensor ini digambarkan terjadinya satu dialog imaginasi tatkala ‘aku’ melihat foto mereka berdua.Sindiran sinis terhadap suasana negaranya juga sempat diselitkan dalam dialog imaginasi tersebut.Dalam dialog imaginasi ‘Aku’ bersama Adam Smith dinyatakan seperti berikut:-

 ‘Ah,sudahlah,anak muda.Lupakan saja.Tapi mahukah kau bercerita tentang negerimu?’
Negeriku?
‘Ya negerimu.Adakah orang-orang pintar di sana?’Pertanyaan yang sulit.
‘Ceritakanlah.’
Dilema!
‘Ayuh,kisahkan kepadaku tentang orang-orang pandai di negerimu.Apa saja terobos ilmiah mereka?’
Susah sekali kerana aku hanya tahu satu hal tentang orang-orang pintar di negeriku.
‘Ayuh ,anak muda,jawablah’

Aku melopong dan aku ingin jujur.
Banyak,Tuan Smith.di negeriku banyak sekali orang pintar,pintar mencuri wang negara’’



Begitu juga terselit ‘debat mazhab ekonomi ‘ antara Adam Smith vs John Maynard Keynes.Manakala dialog imaginasi ‘aku’ bersama Rhoma Irama pula seperti berikut:-

‘’Abang Rhoma…apa gerangan pendapatmu tentang negeri kita?’
Disertai senyum perhatian khasnya,beliau menjawab optimis sambil mengutip salah satu judul lagu terkenalnya.

‘Okey ya..bagi yang mudha,yang punya ghaya…Rambathe Ratha Hayo! Singsingkanh lenganhh bajuhh kalau kitah mahu majuhh!!’’ 


Seni teater di Paris

Kehidupan ‘aku’ di Paris mendedahkan kepada beliau tentang hal-hal kesenian disana.Beliau bersama rakan-rakannya sering menonton teater yang mengisahkan pelbagai isu kemasyarakatan.Seni dijadikan platform untuk menyampaikan mesej kemasyarakatan.Watak ‘aku’ juga dihidupkan Andrea Hirata dengan sempat menyindir sikap negatif para penguasa .

‘Yang paling aku suka dari teater musim panas adalah cerita orang-orang kaya baru Asia yang berbelanja ke Paris.Pulang ke tanah air,mereka berlagak mengaku telah menjelajahi butik Prada sepanjang L’Avenue des Champs-Elysees,padahal hanya memborong baju jualan murah di Mal Lafayette.Namun,yang kutonton berulang-ulang adalah parody,inspired by a true story,tentang dilemma seorang mahasiswa Indonesia di Paris yang menjadi guide bagi para ketua tertinggi yang ingin berhutang.Parodi ini mencapai klimaks saat para ketua Jepun,yang memberi hutang itu datang ke tempat pertemuan dengan bas mini cater,sedangkan para ketua Indonesia ,yang berhutang pula datang seorang demi seorang dengan limousine.Di panggung teater musim panas di Paris,kutemukan paradoks ketiga’

Bahkan kemudiannya pengembaraan ‘aku’ dan Arai ke seluruh Eropah hingga ke Afrika itu juga ditampung hasil kerja ‘seniman jalanan’ yang mereka lakukan sehingga meraih wang dari masyarakat sewaktu mempersembahkan persembahan mereka di jalanan.

Kembara backpacker

Kisah kembara menarik ‘aku’ dan Arai serta rakan-rakannya digambarkan dengan cukup menarik dalam Edensor ini.Satu pengembaraan yang cukup mencabar .Ini semuanya bermula dengan rasa cinta terhadap kembara  dan keinginan untuk melihat wajah dunia bahkan untuk mengenal erti kehidupan.Mereka boleh memilih untuk mengikuti pakej pelancongan tetapi oleh kerana mahukan cabaran dalam satu kembara kehidupan;bukan semata-mata melancong kosong;mereka memilih untuk kembara ala ‘backpaker’ .Ini dinyatakan dalam kenyataan berikut:-

‘Sebenarnya ada cara yang lebih murah,iaitu mengikuti pakej khidmat agen pelancongan.Tapi kami tak mahu.Agen pelancongan hanya cocok untuk para pesara.Perjalanannya tak dapat disebut sebagai penjelajahan.Kami ingin backpacking,tidur dalam sleeping bag di stesen,terminal,serambi kedai,dan taman-taman.Kami ingin mengunjungi tempat-tempat yang tak dikunjungi pelancong,menelusuri jalur yang bukan jalur lawatan sambil belajar.Kami ingin melihat inti sari kehidupan bangsa-bangsa Eropah sampai ke pelosoknya.Kami tak mengharapkan perjalanan yang mudah.Kami ingin cabaran yang menggetarkan.Inilah esensi petualangan.Kami tak berselera berpergian dengan agen pelancongan yang umumnya dilakukan mahasiswa Indonesia,baik yang baru mahupun yang sudah lama di Eropah.Mereka berkerumun,pelesiran duduk rapat-rapat sesama spesiesnya sendiri.Kelihatan betul mentaliti kolektif dan komunalnya’
Kembara ‘aku’ dan Arai  ke seluruh Eropah hingga ke Afrika ini sebenarnya merupakan satu impian untuk merealisasikan ‘mimpi’ yang sudah terpendam sekian lama untuk kembara ke seluruh dunia walaupun hasrat ini terbantut pada mulanya disebabkan masalah kewangan yang tidak mencukupi.Namun keinginan untuk merealisasikan mimpi mengatasi segalanya.Ketika bersama-sama rakan sekelasnya lepak berdiskusi sambil memikirkan persiapan cuti musim panas,’aku’ dan Arai menyatakan hasrat mereka kepada rakan-rakannya yang pada mulanya agak sinis dan tidak percaya dengan idea mereka bahkan menganggap mereka gila dalam merealisasikan mimpi mereka tersebut.2 rakan mereka yang sering bergaduh sesama sendiri ;Townsend dan Stansfield kemudiannya saling mencabar bahkan mula bertaruh dan sanggup ‘berlawan’ dalam pertaruhan kembara ini dan kemudiannya diikuti oleh rakan mereka yang lain seperti MVRC Manooj,Gonzales dan Ninochka.

Mereka ‘bertaruh’ dalam satu idea ‘gila’ untuk kembara yang pada awalnya hanyalah satu mimpi buat ‘aku’ dan Arai.Pertaruhan mereka ialah seperti berikut:-

‘Yang dapat menempuh paling banyak kota dan negara,dialah pemenang.Kehadiran di setiap kota dibuktikan dengan upload foto digital ke yahoophoto sehingga dapat dipantau melalui internet.
Hukuman bagi yang kalah iaitu pasukan yang menempuh paling sedikit kota dan negara,amat mengerikan,iaitu mengurus laundry peserta lain selama tiga bulan,membayar cover charge  untuk clubbing dan yang paling mengerikan lagi harus menuntun basikal secara mundur dari muzium lagenda Le Louvre ke gerbang L’Arc de Triomphe melintasi kawasan paling prestij di Paris:L’Avenue des Champs-Elysees.Basikal yang dituntun akan digantungi pakaian-pakaian campang-camping ‘.

Untuk merealisasikan mimpi mereka,’aku’ dan Arai berusaha keras mengumpul duit untuk kos perjalanan kembara .Mereka sanggup berkerja;bukan satu kerja bahkan pelbagai kerja siang dan malam tanpa mengira waktu demi mengumpul duit untuk kembara.Usaha keras mereka berkerja masih tetap tidak mampu mengumpul duit secukupnya untuk kembara namun kehadiran rakan baik mereka,Famke mencipta satu jalan penyelesaian buat mereka.Seperti dikatakan ‘aku’ :’Di  sekitar kita ada kawan yang selalu hadir sebagai pahlawan’ .Famke seorang pelajar seni bersama rakan-rakannya  dari Amsterdam School of the Arts membantu mereka melalui hasil kerja ‘seniman jalanan’ mereka bahkan ‘Aku’ dan Arai juga terlibat dalam pementasan seni tersebut sebagai ‘manusia patung’,dengan kostum ‘ikan duyung’ yang pertama kali mereka berdua persembahkan.Bantuan Famke dan rakan-rakan senimannya melalui usaha seni ‘seniman jalanan’ itu akhirnya berjaya mengumpulkan  dua ratus lima puluh Euro.’Aku ‘ dan Arai cukup terharu dengan kebaikan Famke dan rakan-rakannya dan ketika ‘aku’ bertanya Famke;’mengapa kau begitu baik pada kami?’ ,jawapan Famke cukup meninggalkan kesan:’kerana kalian berani bermimpi.Mimpi-mimpi kalian memberi inspirasi kepadaku’.
  

Pengembaraan luar biasa  ‘aku’ dan Arai

Pengembaraan ‘aku’ dan Arai cukup luar biasa.Demi merealisasikan mimpi mereka,segala halangan dan suka duka kembara ditempuhi penuh sabar.Kembara ke seluruh Eropah hingga ke Afrika;nampak mustahil pada awalnya namun akhirnya ternyata mereka dapat merealisasikan mimpi mereka tersebut.’Pertaruhan’ dengan rakan-rakan sekelas mereka;MVRC Manooj,Gonzales,Stansfield,Townsend,dan
Ninochka  menjadikan ia lebih menarik.Masing-masing kembara ke pelbagai negara yang berbeza dan berjanji akan berjumpa kembali di satu lokasi yang sama pada penutup ‘pertaruhan’ tersebut iaitu di ‘kafe berdekatan stor rasmi Barcelona Footbal Club’.Siapakah yang akan memenangi ‘pertaruhan’ kembara ini?


‘Aku’ dan Arai kembara berdua sahaja manakala rakan-rakan mereka yang lain kembara ke pelbagai negara yang berbeza.Antara negara yang mereka kembara ialah Belanda-Jerman-Iceland-Finland-Russia-Mongolia-Bosnia-Macedonia-Iran-Bulgaria-Romania Estonia,Switzerland,Austria-Siberia-Italy-Nigeria-Mali-Zaire-Tunisia Maghribi-
Portugal  dan Sepanyol.

1001 kisah dan pengalaman kembara yang cukup bermakna buat ‘aku dan Arai.Di Syzran misalnya mereka ditangkap polis kerana dianggap  mengganggu dan terjadi masalah komunikasi apabila pihak polis tidak tahu dan tidak faham Bahasa Inggeris.Mereka dihentam di perut dengan gagang senapang Kalashnikov,bengkak mulut mereka ditumbuk dan dalam keadaan kelaparan mereka dihantar ke luar batas desa dalam keadaan peralatan penting kembara mereka seperti kompas dan ‘Collins world atlas’ mereka dirampas oleh pihak polis.Mereka menahan kelaparan dengan mengulum -daun pohon plum yang mereka temui di desa tersebut.

‘Aku’ dan Arai menumpang  gerabak angkut bahan bangunan dan melalui Kungur-Ufa-Kazan-Magnitogorsk ke Olovyannaya batas Mongolia tanpa peta bahkan meredah keluasan negara Russia juga.Sepanjang kembara mereka berjumpa pelbagai hal yang aneh seperti berjumpa orang Muslim beribadah seperti Nasrani,Nasrani fasih membaca AlQuran,masyarakat yang memuja  kambing,memandikan bayi yang baru lahir dengan darah lembu,melempar ari-ari ke atas atap,sang suami yang membiarkan isteri tidur di tingkat dua gudang jerami dan hanya dikunjungi suami jika diperlukan dan 1001 keanehan buat mereka sepanjang kembara.


Kembara mereka menumpang pelbagai kenderaan yang lalu-lintas ;tanpa malu ‘lifting’ menumpang apa sahaja kenderaan orang yang mereka tidak kenali,menumpang trak-lori ternakan-kereta tangki sehingga mereka menaiki trak ke Olovyannaya ,
ke Iran ,Bosnia  dan Serbia.Di Macedonia mereka melihat kereta ‘salvation army’ yang meronda kota dan membawa  sup kacang merah untuk memberi makan kepada gelandangan.Mereka ke Bulgaria dan Romania dan di Romania mereka berjumpa lelaki tua misteri lagak detektif ‘Sherlock Holmes’,dikepung oleh penjenayah yang cuba menyerang,membelasah dan meragut mereka serta kemudiannya mereka diselamatkan oleh lelaki tua misteri lagak detektif ‘Sherlock Holmes’ tersebut.

Pak Toha ,lelaki tua misteri yang menyelamatkan mereka di Romania itu rupa-rupanya berasal dari  Purbalingga,Indonesia dan mereka bersembang lama dengan Pak Toha itu.Seperti yang diungkapkan oleh ‘aku’ itu:-

‘Pak Toha telah memberiku pelajaran moral nombor empat belas tentang falsafah kebahagiaan,iaitu:tertawalah,seisi dunia akan tertawa bersamamu;jangan bersedih kerana kau hanya akan bersedih sendirian’



Pengembaraan diteruskan ke Estonia,Switzerland,Austria dan di Ausria mereka dilayan dengan cukup baik oleh komuniti masyarakat Islam disana dan dibawa ke masjid untuk berjumpa dengan  Oruzgan Mourad Karzani,yang dikatakan pahlawan perang dari Afghanistan  yang terlibat dalam perang Afghanistan vs Soviet Union dahulu.Dalam perjalanan kembara juga mereka bertemu dengan rakan backpacker dari Canada yang menjalankan kembara luar biasa juga melintasi  Siberia ke Beijing dari Moscow dengan keretapi ekonomi.’Aku’ dan Arai juga ke Italy dari Milan-Verona melihat suasana seni-kisah cinta lagenda,kemudian ke Pulau Sicily meneruskan kembara juga menaiki kapal dari  dari Mazara ke Tunisia,melintasi perbatasan Nigeria-Mali hinggalah ke Zaire.Mereka akhirnya kembali ke Eropah melalui Maghribi dan menuju ke Portugal sebelum ke destinasi penutup kembara mereka di Barcelona.Di Barcelona ini;seperti yang dijanji iaitu di  kafe berdekatan stor rasmi Barcelona Footbal Club mereka akhirnya bertemu kembali dengan rakan-rakan sekelas mereka ;MVRC Manooj,Gonzales,Stansfield,Townsend,Ninochka ;rakan-rakan yang bertaruh dalam misi kembara yang cukup mencabar ini.Satu ‘reunion’ yang cukup bermakna buat mereka ini setelah bertungkus-lumus berkembara demi satu pertaruhan.Ternyata ‘aku’ dan Arai diistihar sebagai pemenang dalam pertaruhan kembara mereka ini.


Kehidupan  sebagai pengembara ‘backpacker’ mengajar mereka pelbagai erti hidup,pengalaman baru,mengenal manusia,bandar,negara dan pengalaman kembara ini
ini diungkapkan oleh ‘aku’ antaranya seperti berikut:-

‘berbulan-bulan hidup sebagai backpacker –hidup di jalanan dan tidur di sembarang tempat-kami telah pandai menimbang keadaan rawan.Taman adalah tempat tidur yang paling tidak aman.Lewat tengah malam,taman-taman di Eropah menjadi sanctum bagi para psychopath.Kaki lima kedai tempat berisiko tinggi.Terminal dan stesen jauh lebih selamat.Benda yang paling berharga bukanlah wang ,tapi pasport.Pasport yang dipalsukan berharga fantastic di pasar gelap,dan kenalan yang terlalu ramah adalah kenalan yang paling jahat’


‘Banyak kota yang berkarakter seperti orang tua:melindungi warga seperti anak,menghormati tetangga,dan menyambut pendatang.Namun,ada pula kota yang berperangai seperti bandar judi;mencandu kemewahan,memberi kesempatan pada siapa saja untuk mempertaruhkan apa saja,lalu mencampakkan yang kalah tanpa ampun’

 ‘Aku’ ini akhirnya pulang ke Paris;walaupun tanpa menjumpai buah hatinya ‘A Ling’ manakala Arai yang kemudiannya sakit terpaksa pulang ke Indonesia.’Aku’cuba menyelesaikan kuliah-tesis dibawah bimbingan profesor terkenal,Prof Turnbull yang sudah pulang ke Sheffield,England sehingga sanggup ‘mengejar’ Prof Turnbull dari London ke Sheffield untuk berjumpa beliau demi menyelesaikan  penyelidikannya seterusnya mendapatkan tandatangan bagi  laporan akhir penyelidikannya .Digambarkan sewaktu menunggu Prof Turnbull di rumahnya,’aku’ menaiki bas melalui kawasan desa yang cukup indah dan mempesona pemandangannya seterusnya mengalami‘déjà vu’ dan
sambil menikmati keindahan kawasan indah ini ‘aku’ bertanya kepada seseorang apakah nama tempat indah tersebut dan tempat indah tersebutlah namanya  ‘Edensor’.



Comments

Popular posts from this blog

Bersama Hijjaz Kasturi ,Arkitek Terkenal

Pembentangan menarik arkitek terkenal negara,Hijjaz Kasturi di ASWARA lewat petang tadi. Hijjaz Kasturi yang bertanggungjawab merekabentuk bangunan-menara yang unik-unik di Malaysia seperti menara rebung TM,bangunan Tabung Haji,menara Maybank,Pusat Konvensyen Putrajaya ,menara Alor Star dan banyak lagi.





Beliau bicara soal idea INOVATIF ,rekabentuk yang menekankan aspek GO GREEN,dan kerja-kerja KREATIF. Idea senibina beliau punya makna tersendiri dan penuh falsafah disamping menerap mesej kemelayuan keislaman kemalaysian. Misalnya menara Maybank punya falsafah dari rekabentuk keris Melayu manakala Tabung Haji itu ada falsafah rukun Islam dari rekabentuknya.Beliau mengharapkan kita tetap membahaskan soal rekabentuk yang mempunyai ciri kemalaysiaan. Bagi seorang arkitek kata beliau rekabentuk masing-masing selalunya dipengaruhi juga oleh "school of thought" mereka. Beliau juga melontarkan persoalan bagaimana ukiran Melayu turut dipengaruhi oleh suasana persekitaran,kebudayaan ora…

Catatan Kembara di Thailand

oleh Wan Mohamad Wasif Catatan Kembara di Thailand
Sudah lama saya memasang niat untuk kembara ke Selatan Thailand apatahlagi selepas mendengar kisah pengalaman sahabat-sahabat yang mengadakan pelbagai program kebajikan dan pendidikan disana.


Ada yang ke sana membuat kajian tentang sejarah dan tokoh di Pattani,ada yang menjadi sukarelawan mengajar Bahasa Melayu di sana,ada yang mengisi pelbagai program khusus untuk anak-anak yatim disana.Faktor keselamatan sering menghalang saya untuk kembara ke sana,apatahlagi tv di Malaysia sering juga memaparkan berita tentang pembunuhan-tembak menembak di Selatan Thailand sehingga mengerunkan sebahagian orang  untuk ke sana dan beberapa kali juga saya dinasihatkan untuk menangguhkan kunjungan ke sana atas faktor keselamatan oleh sebahagian orang yang mengikuti perkembangan berita terhadap apa yang sedang berlaku disana.Mendengar kisah pengalaman sahabat yang telah kembara disana tanpa apa-apa masalah membuatkan saya cemburu untuk ke sana.
Pelawaan un…

21st Century Maritime Silk Road and Chinese Soft Review and Prospect

Perbincangan mengenai 'Silk Road' atau Laluan Sutera akan sama sekali menyentuh period era Kerajaan Melayu Malaka, ini dijelaskan menerusi pembentangan oleh Prof. Zhang Xiping bertajuk Malacca: The Dynamic Nexus of East West Contact (merupakan pengarah Institut Pengajian China Antarabangsa, Universiti Pengajian Hubungan Luar Beijing, China) dan menyentuh berkenaan kerajaan Samudra merujuk 'Sumatera'. Seminar Antarabangsa dibawah tajuk 21st Century maritime Silk Road and Chinese Soft Power : Review and Prospect. Apa yang perlu diperhati di sini adalah fakta dan pensejarahan Melaka sekaligus Sumatera. 
Pertama menyentuh rujukan yang digunapakai masih mengambil dari sumber2 lama dari barat sekalipun perbincangan ada merentas period kolonial. Dari aspek sejarah adalah pengulangan fakta dari sumber yang sama iaitu melihat Melaka dari perspektif sejarah perdagangan India dan berkitar di Lautan India. Pada kebiasaannya dalam penulisan sejarah Kepulauan Melayu-Indonesia (Melak…